Maklumat Am.

PENGENALAN / PENAFIAN

ANDA MAHU RAWATAN ORTHODONTIK?

Baca ini dahulu

Maklumat am mengenai ortodontik dan rawatan ortodontik

Penafian:

Maklumat yang terkandung dalam buku ini bersifat umum untuk tujuan makluman dan penambahan pengetahuan sahaja. Pihak persatuan tidak bertanggungjawab untuk apa-apa kerosakan atau kecederaan akibat penggunaan maklumat dalam buku ini.

Pesakit yang inginkan rawatan ortodontik patut berjumpa dengan pakar ortodontik untuk perundingan lengkap dan menentukan pelan rawatan yang khusus dan terbaik untuk keperluan anda.

APAKAH ITU ORTODONTIK DAN RAWATAN ORTODONTIK?

Ortodontik adalah cabang pergigian yang mengambil kisah tentang perkembangan muka, rahang dan kegigian.

Ia adalah kepakaran yang membuat diagnosis, mencegah dan merawat masalah-masalah susunan gigi dan rahang.

Istilah teknikal masalah-masalah ini ialah ‘maloklusi’ yang bermaksud ‘gigitan yang tidak normal’.

Rawatan ortodontik menggunakan aplians pembetulan, yang dikenali sebagai pendakap atau ‘braces’, untuk membawa gigi dan rahang ke kedudukan yang lebih baik.

APAKAH YANG BOLEH DIPEROLEHI DARI RAWATAN ORTODONTIK?
  • Gigi lurus
  • Oklusi (gigitan) yang lebih baik
  • Senyuman yang lebih menarik
  • Mungkin wajah muka yang lebih menawan
  • Mungkin keyakinan diri yang lebih tinggi
APAKAH YANG TIDAK BOLEH DIPEROLEHI DARI RAWATAN ORTODONTIK!
  • Ia mungkin tidak akan menyelesaikan semua masalah pergigian anda
  • Ia tidak akan menyelesaikan semua masalah lain anda (perubatan, kehidupan)
  • Ia tidak akan membuatkan anda lebih pandai ataupun hidup lebih lama
CONTOH-CONTOH MALOKLUSI
MALOKLUSI LAIN
  • Gigitan Dalam
  • Gigi Terimpak
  • Ketidakseimbangan Rahang
  • Sumbing Bibir dan Lelangit
  • Macam-macam lagi
SIAPAKAH SEORANG PAKAR ORTODONTIK?

Pakar Ortodontik adalah seorang DOKTOR GIGI PAKAR:

  1. yang telah berjaya menjalani sekurang-kurangnya dua tahun sepenuh masa secara formal, latihan klinikal dan penyelidikan pasca-ijazah, dalam bidang ortodontik, yang menyumbang kepada sesuatu kelulusan pasca-ijazah dan / atau
  2. yang mempunyai kelulusan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan / Pendidikan Tinggi
BILAKAH BERTIMBANG UNTUK BERJUMPA PAKAR ORTODONTIK?

Muka, rahang dan gigi tumbuh dari lahir sehingga dewasa.

Kebanyakan pertumbuhan dan perkembangan berlaku semasa zaman kanak-kanak dan belasan umur.
Bagaimanapun, perubahan masih berlaku, disebabkan penuaan, pada peringkat dewasa.

Adalah disyorkan seorang kanak-kanak berjumpa dengan pakar ortodontik semuda umur 7 tahun, bila kegigian dewasa mula tumbuh, untuk memastikan jika rawatan ortodontik awal diperlukan.

Kebiasaannya, kebanyakan rawatan dijalankan pada zaman remaja, bila semua gigi kekal dewasa (kecuali gigi bongsu) telah tumbuh dalam mulut.

Sesetengah rawatan kadangkala baik dibiarkan sehingga kebanyakan pertumbuhan telah berhenti. Sebagai contoh, ketidakseimbangan hubungan rahang, yang memerlukan pembedahan ortognatik, biasanya hanya dibetulkan pada awal dewasa.

Orang dewasa juga boleh menjalani rawatan ortodontik, sebab gigi masih boleh bergerak! Pergerakan gigi, walaubagaimanapun, mungkin lebih perlahan.

Sesetengah rawatan memerlukan pengurusan antara-disiplin melibatkan pelbagai doktor/pakar. Sebagai contoh:

  • Pengurusan pesakit Sumbing Bibir dan Lelangit mungkin memerlukan kerjasama Pakar Bedah Plastik, Therapis Pertuturan, Doktor Gigi Kanak-Kanak dan lain-lain.
  • Pengurusan pesakit yang mempunyai kecacatan/ ketidakseimbangan rahang, mungkin memerlukan rawatan kombinasi pembedahan-ortodontik, bersama-sama Pakar Bedah Mulut dan Maxilofasial.
KES CONTOH

Sebelum Rawatan

Selepas Rawatan

RISIKO RAWATAN ORTODONTIK

Beberapa risiko rawatan ortodontik adalah seperti berikut:

  • Sakit, ketidakselesaan, ulser mulut semasa rawatan
  • Dekalsifikasi (tompok putih/coklat) atas gigi dan karies (lubang gigi)
  • Gingivitis (gusi bengkak dan berdarah)
  • Resorpsi akar (akar gigi menjadi pendek)
  • Rawatan tak lengkap menyebabkan sedikit/tiada kebaikan yang diterima dan mungkin tinggal ruang cabutan gigi yang besar
  • Relaps( gigi kembali tidak lurus) akibat tidak cukup pemakaian alat pemegang ataupun corak tumbesaran yang tidak unggul

 

risk01

risk02

risk03

risk04

TANGGUNGJAWAB PESAKIT

Sekiranya anda ingin keputusan rawatan yang baik, dan pada masa yang sama, mengurangkan risiko rawatan ortodontik, anda perlu memenuhi tanggungjawab anda.

TANGGUNGJAWAB PESAKIT

  • Anda akan menjaga kebersihan mulut anda. Anda perlu memberus gigi selepas setiap kali makan
  • Anda akan berusaha mengekalkan alat ortodontik anda dalam keadaan sempurna
  • Anda akan berusaha mengikuti segala arahan doctor
  • Anda akan berusaha supaya hadir semua temujanji yang diberi.

Kegagalan memenuhi tanggungjawab anda mungkin melambatkan rawatan anda, membuatkan keputusan yang baik sukar diperolehi dan menyebabkan masalah seperti yang diutarakan sebelum ini terjadi.

Sekiranya anda merasakan anda tidak dapat memenuhi tanggungjawab seperti di atas:

  • Barangkali lebih baik rawatan ortodontik TIDAK dimulakan.
  • Jika anda sedang dalam rawatan, ia mungkin dihentikan.
PROSES RAWATAN ORTODONTIK

Di bawah, secara amnya, adalah senarai proses rawatan ortodontik.

  1. Perundingan
    • Yuran rawatan
  2. Rekod
  3. Pelan Rawatan
  4. Rawatan
  5. Pemegangan
PERUNDINGAN ORTODONTIK

Ini hanya temujanji perundingan.

Hanya pemeriksaan akan dilakukan. Tiada rawatan akan diberi.

Pakar ortodontik akan menasihatkan anda/anak anda mengenai apa yang difikirkan patut.

Sekiranya ada apa-apa soalan, sila tanya pakar ortodontik.

Sekiranya anda was-was dengan nasihat yang diterima, anda mungkin mahu mendapatkan nasihat daripada pakar yang lain.

Anda patut mengetahui bahawa rawatan biasanya hanya akan dicadangkan jika anda/anak anda:

  • Mempunyai kesihatan mulut yang baik, tanpa karies atau penyakit gusi
  • Mempunyai kesihatan badan am yang baik
  • Bermotivasi untuk menerima rawatan selama beberapa tahun
  • Setuju menerima tanggungjawab sebagai pesakit
YURAN RAWATAN ORTODONTIK

Kos rawatan ortodontik mungkin berbeza di antara pesakit. Yuran yang dikenakan biasanya bergantung kepada kerumitan rawatan dan juga bahan yang digunakan semasa rawatan.

Lain-lain klinik mempunyai lain-lain cara dan pelan pembayaran. Pelan pembayaran yang tersendiri, yang memuaskan keperluan kewangan seseorang, sering didapati. Pembayaran juga boleh diagihkan sepanjang tempoh rawatan.

Sekiranya anda membuat keputusan menjalani rawatan ortodontik, pakar ortodontik anda akan membincang yuran dengan anda sebelum rawatan dimulakan.

PENGAMBILAN REKOD ORTODONTIK

Semasa temujanji ini, kami akan mengambil beberapa rekod.

Ini termasuk salah satu/semua daripada berikut:

  • Sejarah dan Pemeriksaan
  • Acuan untuk Model Kajian
  • Gambar muka dan gigi anda
  • Radiograf di mana perlu

Rekod-rekod ini akan digunakan untuk memeriksa gigi dan gigitan anda dan merancang rawatan ortodontik anda.

Rancangan ini akan dibincangkan denga anda pada temujanji depan.

Sekiranya terdapat apa-apa soalan, sila tanya pakar ortodontik.

PELAN RAWATAN ORTODONTIK

Semasa temujanji ini, doktor akan berbincang dengan anda, pelan rawatan yang dia fikirkan sesuai untuk masalah anda.

Pelan ini adalah pendapat pakar ortodontik ini. Doktor lain mungkin mempunyai pendapat berbeza. Sekiranya anda tidak yakin dengan pelan ini, anda boleh meminta pendapat pakar lain.

Anda boleh mengambil masa berfikir mengenai pelan ini. Anda tidak perlu menerima/menolak pelan ini dengan segera.

Sekiranya anda bersetuju menerima pelan ini, anda perlu faham bahawa anda komited untuk menjalani rawatan selama 2-3 tahun dengan temujanji 1-2 bulan sekali. Anda juga bersetuju menerima tanggungjawab anda sebagai pesakit.

Ada juga yuran yang perlu dibayar berjumlah ………………. Jikalau alat ortodontik anda rosak/pecah berulang kali, anda mungkin diminta membayar untuk pembaikan/pembikinan aplians baru.

RAWATAN ORTODONTIK (Aplians Ortodontik Tetap)

Aplains ortodontik tetap adalah pendakap yang terlekat pada gigi. Ia tidak boleh dikeluarkan daripada mulut dan tak sepatutnya tertanggal.

Rawatan aktif biasanya, secara purata, mengambil masa 2 tahun. Sesetengah kes mengambil masa lebih lama dan sesetengahnya, lebih singkat. Selepas itu, anda biasanya akan diberi alat pemegang.

Temujanji berkala biasanya diatur 1-2 bulan sekali.

Anda patut manjangka yang berikut:

  • Kesakitan, perubahan suara dan kejadian ulser mulut dalam beberapa hari selepas alat ortodontik dipasang dan selepas ianya diubahsuai. Anda akan membiasakan diri selepas seketika. Jika perlu, anda boleh mengambil ubat tahan sakit yang biasa.
  • Ketidakselesaan semasa makan dan bunyi sendi rahang disebabkan perubahan dalam kedudukan gigi. Ini biasanya sementara sahaja dan akan reda selepas rawatan.

Kejayaan rawatan anda kebanyakanya bergantung kepada usaha anda sendiri. Anda harus mimikul tanggungjawab anda.

Anda mesti melakukan yang berikut semasa rawatan:

  • Menjaga kebersihan mulut. Anda mesti memberus gigi setiap kali selepas makan. Guna ubat gigi berfluorida dan ‘berus gigi botol’ khas, jika perlu, untuk memberus di bawah wayar. Penggunaan kumur mulut berfluorida mungkin membantu.
  • Makan makanan lembut sahaja. Makanan keras, besar dan melekit (kacang, keropok, daging liat, gum kunyah dll) akan merosakkan aplians alat ortodontik anda. Anda patut potong makanan anda sehingga kecil sebelum memakannya.

Jika anda mempunyai masalah dengan alat ortodontik anda, sila datang ke klinik secepat boleh untuk pemeriksaan.

TOLONG SIMPAN APA-APA YANG TANGGAL DARI GIGI ATAU APLIANS ANDA DAN TUNJUKKAN KEPADA DOKTOR.

Sekiranya anda tidak dapat memikul tanggungjawab anda, dan gigi anda mula dirosakkan akibat pemakaian alat ortodontik, rawatan anda mungkin dihentikan.

RAWATAN ORTODONTIK (Aplians Fungsi Dan Boleh Tanggal)

Aplians boleh tanggal adalah pendakap yang boleh dikeluarkan daripada mulut. Aplains fungsi adalah pendakap khas yang bertujuan memperbaiki hubungan rahang anda. Ia biasanya boleh tanggal.

Ia hanya berkesan sekiranya anda bekerjasama dengan arahan kami. Arahan ini mungkin seperti berikut:

  • Anda perlu memakainya hampir sepenuh masa. Ini termasuk bila ke sekolah, tidur, tengok TV dll.
  • Anda patut hanya menanggalkannya bila berus gigi, bermain sukan lasak, makan, bercakap depan khayalak ramai dan berenang.
  • Bila di luar mulut, simpankannya dalam bekas teguh, sebelum memasukkannya dalam beg, poket ataupun tempat lain.
  • Bila memberus gigi, bersihkan aplians ini juga.

Anda patut menjangka yang berikut:

  • Ketidakselesaan pada gigi dan otot rahang.
  • Pengaliran air liur yang banyak.
  • Kesusahan bercakap dan perubahan suara yang sementara.
  • Kelonggaran aplians ini pada mulanya.

Anda akan membiasakan diri memakai aplians anda selepas seketika.

Jika anda mempunyai masalah dengan alat ortodontik anda, sila datang ke klinik secepat boleh untuk pemeriksaan.

TOLONG SIMPAN APA-APA YANG TANGGAL DARI GIGI ATAU APLIANS ANDA DAN TUNJUKKAN KEPADA DOKTOR.

Sekiranya anda tidak dapat memikul tanggungjawab anda, dan gigi anda mula dirosakkan akibat pemakaian alat ortodontik, rawatan anda mungkin dihentikan.

PEMEGANGAN ORTODONTIK

Anda selesai dengan rawatan ortodontik aktif. Anda akan diberi alat pemegang untuk dipakai. Tujuan alat ini adalah untuk megekang gigi anda dan mengelakannya kembali ke kedudukan asal (relaps).

Gigi dan gusi anda memerlukan masa untuk suai di kedudukan baru. Contoh tempoh biasa pemakaian alat pemegang (alat boleh tanggal) ialah seperti berikut:

  • 6 bulan sepenuh masa.
  • 6 bulan separuh masa (contohnya malam sahaja).
  • Pemakaian berterusan, beberapa malam seminggu, selama mahu.

Kadang-kadang, bergantung kepada masalah khusus anda, sekiranya anda ingin mengekalkan perubahan yang diperolehi, anda mesti memakai alat pemegang seumur hidup. Dalam kes begini, anda boleh memakai alat boleh tanggal seperti di atas, ataupun melekatkan seutas wayar pada gigi anda (alat pemegang tetap/lekat).

Doktor anda akan menasihatkan yang mana paling sesuai untuk anda.

Oleh kerana tumbesaran dan peningkatan umur, walaupun gigi anda lurus sekarang, kami tidak boleh menjamin ia kekal lurus selamanya. Cara terbaik untuk mengekalkan kedudukan gigi, ialah dengan pemakaian berterusan alat pemegang anda.

Anda perlu ikut arahan berikut:

  • Alat pemegang boleh tanggal:
    • Pakai sebanyak yang diarah oleh doktor.
    • Tanggalkannya bila makan, bersukan lasak, memberus gigi dan berenang; bila-bila ia boleh dirosakkan.
    • Bila di luar mulut, simpankannya dalam bekas teguh, sebelum diletakkan dalam beg, poket atau tempat lain.
    • Bila berus gigi, bersihkan alat pemegang anda juga.
  • Alat pemegang tetap/lekat:
    • Anda perlu menjaganya seperti bila memakai alat ortodontik aktif sebelum ini (pemberusan gigi, makanan dll)
    • Sekiranya tanggal, keseluruhannya atau separa, datang ke klinik secepat boleh, supaya ia boleh diperiksa.
CONTOH APLIANS ORTODONTIK

Retainers

Other Appliances

Malaysian Association of Orthodontists

Secretariat Address:

Malaysian Association of Orthodontists,
21-3A, Tingkat 2, Blok L, Jalan PJU 1/3C,
SunwayMas Commercial Centre,
47301, Petaling Jaya,
Selangor DE
MALAYSIA

Email: general@mao.org.my

Copyright © 2016 Malaysian Association Orthodontists
Follow Us